POLIS menahan seorang wanita disyaki mencuri wang tunai dan barangan kemas milik suami dan mentuanya, dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit di rumah mereka di Taman Permatang Pasir Perdana, Alai, di Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata wanita berusia 37 tahun itu ditahan pada Rabu lalu, susulan laporan dibuat suaminya yang menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang berlesen.
“Berdasarkan laporan, pengadu berusia 35 tahun itu mendakwa menyedari kehilangan wang tunai dan barangan kemas miliknya dan ibu selepas dia pulang dari Kuala Lumpur ke rumah di Alai pada 4 Januari lalu.
“Ketika memeriksa dua peti besi miliknya sekitar jam 6.30 petang di tingkat dua dan tiga, pengadu terkejut mendapati wang tunai hasil perniagaan harian berjumlah kira-kira RM520,000 lesap. Pengadu mendakwa dalam dua peti besi itu juga ada wang tunai tidak diketahui jumlah dan barang kemas ibunya.
“Disebabkan tiada kesan kerosakan pada kedua-dua peti besi, lelaki itu mengesyaki wang tunai dan barang kemas dicuri isterinya sendiri sebelum membuat laporan di Balai Polis Kandang, pada pukul 11.42 malam hari sama,” katanya ketika dihubungi.
Christopher berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan siasatan sebelum menahan suspek pada 25 Januari.
Katanya, wanita itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Chengal 4, Taman Merdeka, Batu Berendam, pukul malam yang kemudian direman selama dua hari bermula Khamis lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek bagi membantu siasatan. Hasil siasatan awal, suspek mendakwa ada memulangkan wang tunai RM280,000 kepada iparnya dan dia turut membuat laporan di Balai Polis Kandang menafikan terbabit dalam kes yang disiasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya lapor BH.
Leave a Reply