rafizi sapura energy

Bincang dulu jika pemimpin dipecat UMNO mahu sertai PKR-Rafizi

SEKIRANYA mana-mana pemimpin UMNO yang dipecat malam tadi memohon untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), perkara tersebut akan dibincangkan kepimpinan PKR.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbincangan perlu dilakukan secara dalaman dan sepakat membuat keputusan.

“Saya tidak boleh membuat keputusan bersendirian, tetapi hal tersebut perlu mendapat persetujuan secara kolektif.

“Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

“Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu,” katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

Semalam, UMNO memecat calon presiden parti itu, Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertingginya, Tan Sri Noh Omar yang meminta dilepaskan selepas dia digantung selama enam tahun.

Beberapa pemimpin lain telah digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Suffian yang juga bekas ketua penerangan parti.

Turut digantung tugas ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tiram Maulizan Bujang.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata pada masa ini, isu pemimpin yang dipecat dan digantung UMNO ini memohon menyertai PKR cuma sekadar spekulasi semata-mata.

“Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara ini timbul, barulah kita bincang tetapi belum lagi, maka setakat ini jadi spekulasi sahaja,” jelasnya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *