9 lelaki ditahan ketika berjudi, wang pertaruhan hampir RM20,000 dirampas

Oleh RIZQI ZABIDI

WANG pertaruhan hampir RM20,000 merupakan antara barangan dirampas dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Pusat Komersial Saujana, Sungai Petani, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai sembilan individu ditahan dalam serbuan tersebut ketika masing-masing sedang rancak bertaruh kira-kira pukul 2.45 pagi.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

“Serbuan itu diketuai oleh pegawai yang turut digelar sebagai pakar judi PDRM bersama anggota D7 IPK Kedah. Selain wang tunai berjumlah hampir RM20,000, beberapa peralatan perjudian antaranya dua meja, sembilan kerusi, 52 daun pakau turut dirampas.

“Kegiatan perjudian ini dipercayai telah berlangsung selama dua hari. Kesemua yang ditahan serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *