Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

REMAJA lelaki yang hilang selepas mandi-manda bersama dua rakannya di sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, dekat Muar, Rabu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat Muhammad Nur Hakim Zulkarnain, 19, ditemukan di tebing sungai tersebut, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

“Pada 10.30 pagi, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai itu dalam keadaan lengkap berpakaian. 

“Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat ditamatkan pada 12 tengah hari tadi manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Rabu lepas, Muhammad Nur Hakim, bersama dua rakan lelakinya berusia 20 dan 21 tahun dipercayai terjun dari jambatan di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

Sejurus terjun, mangsa kemudiannya timbul dan menggapai tangan meminta bantuan namun gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *