AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada kedudukan 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pukul 12.03 tengah hari semalam selepas didapati dikendalikan kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan dalam rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan oleh seorang tekong dan lima kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 24 hingga 33 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati dua daripada kru tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah dan pemilik bot telah melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
Sehubungan itu, tambahnya, mereka disyaki Melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 50 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd. Razak berkata, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.
Tegasnya, Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Leave a Reply