”Daripada digantung baik pecat sahaja”
SEPERTI diduga UMNO malam ini menggantung keahlian bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar selama enam tahun.
Bercakap kepada wartawan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Noh mempersoalkan tindakan itu yang diumumkan sendiri oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memandangkan beliau (Noh) telah diminta bertemu Lembaga Disiplin UMNO pada Isnin ini.
‘’Zahid umumkan beberapa nama pemimpin yang dipecat dan digantung, tiba-tiba nama saya turut tersenarai antara yang digantung. Saya tanya Presiden undang-undang apakah ini rimba atau undang-undang hantu mana ini sebab suka hati sahaja buat keputusan.
‘’Sedangkan saya sudah mendapat surat daripada Lembaga Disiplin UMNO untuk hadir pada Isnin ini, (oleh itu) bagaimana Presiden boleh buat keputusan saya disenarai antara yang digantung,’’ katanya.
Noh berkata, beliau tertanya-tanya kerana Ahmad Zahid memaklumkan ia keputusan Lembaga Disiplin.
‘’Macam mana ia boleh keputusan Lembaga Disiplin sedangkan saya hanya akan jumpa Isnin ini. Zahid kata lepas ini pergi jumpa Lembaga Disiplin. Ini budak sekolahpun ketawa sebab Presiden tidak faham Perlembagaan. Macam inikah perangai UMNO tak ikut Perlembagaan buat keputusan sesuka hati,’’ katanya.
Noh turut memberitahu, beliau turut menegaskan kepada Ahmad Zahid bahawa tiada gunanya digantung enam tahun kerana beliau tidak dapat menyumbang apa-apa untuk parti.
‘’Untuk apa gantung saya 6 tahun, daripada gantung lebih baik pecat sahaja, Zahid kata ‘ok saya pecat Tan Sri Noh,’’ katanya.
Ditanya adakah Zahid memberikan apa-apa alasan berhubung penggantungan itu, Noh berkata, ‘’ tiada alasan’’.
Leave a Reply