Dadah 29.8 kg dirampas, pekebun disyaki tokan ditahan bersama 2 lelaki Thailand

Oleh RIZQI ZABIDI

HAMPIR 30 kilogram dadah jenis ganja dirampas dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sebuah rumah dekat Kilometer 3, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.10 malam itu, pihak polis turut menahan tiga lelaki terdiri daripada seorang warganegara tempatan berusia 48 tahun serta dua lelaki warganegara Thailand berusia 45 dan 34 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, lelaki tempatan itu yang merupakan seorang pekebun dipercayai bertindak sebagai tokan dadah manakala dua lagi lelaki warganegara Thailand adalah transporter.

“Pihak polis terlebih dulu menahan lelaki warganegara tempatan itu di depan rumah sebelum menangkap dua lagi lelaki warganegara Thailand di dalam rumah. Selepas menjalankan soal siasat, lelaki Thailand berusia 45 tahun menunjukkan dua guni berwarna kuning yang diletakkan dalam semak di depan rumah.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat 29 ketulan mampat dedaun hijau disyaki ganja dalam kedua-dua guni tersebut yang dianggarkan seberat 29.8 kilogram (kg) bernilai RM74,675,” katanya.

Tambahnya, jika terlepas ke pasaran, ganja tersebut boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih.

Difahamkan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand menggunakan jalan darat.

“Selain dadah, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan wang tunai berjumlah RM6,000. Rumah diserbu serta kenderaan pacuan empat roda tersebut dipercayai milik lelaki tempatan tersebut yang masih bujang,” katanya.

Katanya, saringan urin dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan methamphetamine.

“Semakan kami mendapati hanya lelaki tempatan itu saja yang memiliki rekod berkaitan dadah manakala dua lelaki warganegara asing tersebut tidak memiliki rekod lampau.

“Ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari hingga esok dan polis akan memohon agar tempoh itu dipanjangkan,” katanya.

Katanya, kes tersebut kini masih disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *