SEORANG pencuri sempat meninggalkan sekeping nota memohon maaf selepas mencuri wang tunai sebanyak RM1,589 (12,213 baht) dari sebuah kedai peralatan elektrik di Chiang Mai, Thailand, Ahad lalu.
Memetik laporan The Thaiger, suspek berusia lingkungan 30 tahun itu menceroboh kedai terbabit dengan memakai topeng muka pada pukul 1 pagi.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek telah memecah tingkap lalu masuk ke dalam kedai dengan membawa lampu suluh.
Suspek juga dilihat dengan tenang menanggalkan bolt mesin tunai satu persatu dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk melarikan wang tunai terbabit.
Sebelum beredar, suspek sempat menulis nota pada sekeping kertas A4 dan meninggalkannya di atas kerusi.
“Maaf, saya tak makan,” tulis pencuri itu.
Sementara itu, menurut pemilik kedai yang dikenali sebagai Jatupol, 36, beliau menyedari premisnya dirompak pada hari Isnin.
Jatupol mengesyaki bahawa pencuri itu telah melakukan perancangan yang rapi kerana kedai tersebut tutup pada hari Ahad.
Katanya, ini adalah kali pertama premisnya dipecah masuk dan tiada wang tunai yang tinggal selain beberapa keping syiling.
Malah, Jatupol juga mengakui dia jatuh kasihan terhadap pencuri itu setelah melihat nota yang ditinggalkan.
Bagaimanapun, Jatupol kemudian memutuskan untuk membuat laporan polis kerana suspek mencuri wang tunai dalam jumlah yang banyak.
Jatupol berharap pihak polis dapat menangkap suspek bagi mengelakkan perkara sebegini terjadi kepada premis perniagaan yang lain.
Leave a Reply