KEBANYAKAN agensi pelancongan di negara ini sedang meneliti semula pakej umrah sekitar RM7,890 yang ditawarkan ketika ini dengan jangkaan terpaksa menaikkan harganya sehingga sekitar RM10,000 bagi setiap jemaah.
Ia berikutan kenaikan mendadak pelbagai kos di Makkah dan Madinah, terutama bayaran penginapan dan makanan, selain kos penerbangan ke Jeddah di Arab Saudi.
Difahamkan, sejak Oktober tahun lalu, agensi pelancongan berdepan masalah berkenaan, namun ada yang mengambil jalan tengah dengan menyerap kos tambahan agar tidak membebankan jemaah.
Apa yang merunsingkan adalah kos penginapan dan penerbangan yang terus melonjak sehingga ada agensi terpaksa membawa jemaah keTanah Suci dengan menanggung sendiri kos tambahan kerana kenaikan berlaku secara mengejut dan berterusan.
Pengasas bersama SafarTrips Umrah, Rizal Mohamad mengakui agensi pelancongan seperti syarikatnya kini beroperasi dalam keadaan tertekan dengan keuntungan semasa merundum teruk hampir 50 peratus.
“Keuntungan kami berkurangan hampir 50 peratus. Malah ada kumpulan jemaah yang bakal dibawa pada Januari ini, memang kami (terpaksa tanggung) rugi. Kami tak mahu minta (jemaah) bayar lebih, jadi kami tanggung sendiri kos itu dengan jemaah hanya bayar harga pakej seperti dipersetujui.
“Disebabkan pelbagai kenaikan ini, kami tidak ada jalan lain, terpaksa semak dan ubah harga pakej semasa. Pakej paling murah pun selepas ini, mungkin lebih RM9,000. Sebelum ini ada pakej serendah RM7,000 lebih, tetapi ia tidak dapat dikekalkan lagi,” katanya kepada BH.
Rizal berkata, bagi mengelak menanggung kerugian besar, syarikatnya berunding dengan jemaah untuk menempatkan mereka di lokasi penginapan agak jauh ketika di Makkah, selain mengurangkan tempoh masa berada di Tanah Suci, misalnya daripada 12 hari kepada sembilan hari.
Mengenai harga tiket penerbangan, katanya, ia naik mendadak dengan penerbangan terus ke Jeddah kini mencecah RM4,000 berbanding sekitar RM2,800 hingga RM3,200 sebelumnya, manakala harga penginapan untuk satu malam bagi bilik memuatkan empat orang boleh mencecah 1,000 riyal (RM1,441).
“Sepatutnya kerajaan dan agensi berkaitan campur tangan menangani isu ini. Ini kerana selalunya agensi umrah akan jadi mangsa manakala jemaah pula fikir pihak kami yang sengaja naikkan harga.
“Malah ada kes apabila sampai di Tanah Suci, hotel di sana membatalkan tempahan yang sudah dibuat lebih awal. Selain itu, ada hotel di Arab Saudi tidak ikut kontrak apabila menaikkan sewa penginapan secara tiba-tiba dengan alasan mereka menerima permintaan amat tinggi,” katanya.
Pengurus Umrah Muqmeen Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd. Khairil Azwan juga menjangkakan peningkatan kos umrah berlanjutan.
“Buat masa ini, kami terpaksa tukar strategi, misalnya terbangkan jemaah guna penerbangan transit yang lebih murah, dengan cara itu dapatlah kekalkan harga lama. Kami juga terpaksa tukar hotel kumpulan jemaah.
“Alhamdulillah, setakat ini jemaah faham dan akur dengan kenaikan sewa hotel yang sangat ketara, naik tiga hingga empat kali ganda. Jika dulu, kos hotel untuk seorang jemaah cuma RM500, kini cecah RM1,500 hingga RM2,500,” katanya.
Agensi umrah tersepit
Malah, jelasnya, agensi umrah terus tersepit memandangkan jemaah mahu harga lama dikekalkan, namun pada masa sama tetap inginkan kemudahan terbaik seperti lokasi penginapan lebih dekat dengan Masjidil Haram, selesa dan harga berpatutan.
“Saya jangkakan jika kami kekalkan harga sedia ada sekitar RM7,990, kerugian boleh cecah 80 peratus. Jika harga pakej dinaikkan mengikut pertambahan kos semasa, mungkin boleh dapat sekitar 50 peratus daripada keuntungan biasa,” katanya.
Pengerusi Qasswa Travel and Tours, Datuk Mohd. Najib Alwi, berkata syarikatnya turut mengambil langkah sama dengan menaikkan harga pakej umrah bagi menanggung kos operasi yang terus melonjak.
Berdasarkan pemerhatiannya, beliau melihat situasi itu disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerja pengubahsuaian hotel sekitar Makkah yang mengakibatkan lokasi penginapan biasanya menempatkan jemaah umrah Malaysia berkurang.
“Selain itu, kebanjiran luar bisa jemaah Indonesia yang biasanya sanggup bayar kos penginapan berlipat kali ganda berbanding harga semasa, turut menyumbang peningkatan harga penginapan secara mendadak.
“Saya kira peningkatan (harga pakej) ini wajar untuk menampung pelbagai kos, khususnya sewa penginapan di hotel bertaraf lima bintang. Peningkatan sewa (untuk hotel) sekitar 15 hingga 30 peratus sejak Disember lalu dan dijangka berterusan hingga April ini.
“Disebabkan itu, untuk harga pakej, kami naikkan sekitar RM600 hingga RM1,000. Jadi, bakal jemaah usah terpedaya dengan harga pakej yang terlalu murah kerana ia amat tidak munasabah dengan kenaikan kos semasa,” katanya.
Beliau memaklumkan, syarikat umrah terpaksa menaikkan harga pakej selepas mengambil kira faktor lain, termasuk kos pengangkutan, makanan, bayaran mutawwif dan kos operasi berkaitan lain.
Jangkaan kenaikan harga pakej umrah sehingga RM10,000 itu melangkaui paras RM7,890 dipersetujui Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Hajid Malaysia (PAPUH).
Tiga persatuan itu pada awal bulan ini bersetuju pakej umrah ditetapkan pada kadar RM7,890 dengan kemudahan penginapan pada jarak kira-kira 300 meter, namun hanya sebagai rujukan untuk bakal jemaah membuat pilihan, bersesuaian dengan kemampuan mereka.
MATTA, BUMITRA dan PAPUH membuat ketetapan itu sebelum ini disebabkan penularan pelbagai iklan tawaran harga pakej umrah di media sosial berikutan kenaikan harga penginapan dan tiket penerbangan, sewa hotel, pengangkutan, tambang kapal terbang dan faktor-faktor di luar kawalan.
Leave a Reply