“Sebelum jadi menteri bermacam formula, kini seru rakyat pulau peniaga”

SARANAN Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya pengguna memulau peniaga yang dirasakan mengenakan harga yang terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga-peniaga lain, disifatkan sebagai tidak kompeten.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, sebelum jadi menteri bermacam formula dihidangkan kepada rakyat, tetapi kini menyeru rakyat boikot peniaga.

“Sebelum jadi menteri bermacam formula tapi sekarang seru rakyat pulau peniaga!

“Semua boleh jadi menteri kalau macam ini,” katanya dalam kenyataan ringkas semalam, lapor BeritaBersatu.

Kelmarin, kerajaan PH-BN terkilan dengan sikap pengusaha restoran dan kedai makan yang gagal menurunkan harga makanan, walaupun kos bahan mentah dalam pasaran kini menunjukkan penurunan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika mengakui kerajaan tidak mampu campur tangan terhadap kenaikan harga makanan di semua restoran dan kedai makan itu, mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memulau premis yang gagal menurunkan harga.

Beliau berkata, ketika ini harga bahan mentah dalam pasaran sudah menunjukkan penurunan, tetapi harga makanan dan minuman masih dikekalkan seperti ketika berlakunya kenaikan barangan.

Katanya, pengusaha restoran dan peniaga kedai makan sepatutnya bertindak menurunkan harga bagi membantu mengurangkan bebanan orang ramai.

“Rakyat menuding jari menyalahkan kerajaan berikutan kenaikan harga barangan, terutama membabitkan bahan mentah, tetapi agak mengecewakan apabila pengusaha restoran, kedai makan dan peruncit tidak pula menurunkan harga selepas harga bahan mentah diturunkan.

“Orang ramai dan semua peniaga, termasuk pengusaha restoran dan kedai makan serta peruncit diminta memberi kerjasama dengan menurunkan harga makanan kerana semua harga bahan mentah sudah menunjukkan penurunan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *