RANCANGAN membawa masuk kontraktor perumahan Singapura untuk berkongsi kepakaran mereka dalam membina rumah mampu milik di Malaysia merupakan satu tindakan yang bakal mencabul kedaulatan dan keselamatan negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan sama ada negara sudah ketandusan pakar-pakar perancangan bandar tempatan sehingga Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beriya-iya memanggil kontraktor dari negara jiran itu.
“Bagi sebuah negara merdeka, soal kedaulatan dan keselamatan negara tidak harus dikompromikan walau dengan apa jua alasan.
“Lebih-lebih lagi jika alasan yang diberikan langsung tak masuk akal dan dilihat sebagai usaha untuk memperbodohkan rakyat.
“Langkah menteri DAP KPKT mahu membawa masuk pakar Housing & Development Board (HDB) Singapura boleh menjadi suatu pencabulan yang jelas ke atas kedaulatan dan keselamatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BeritaBersatu.
Faiz berkata demikian berikutan laporan yang memetik Nga sebagai berkata kerajaan Singapura telah memberikan lampu hijau kepada kontraktor rumah pangsa HDB untuk melawat kementeriannya pada bulan depan, untuk berkongsi pengetahuan tentang rumah mampu milik.
“Kita bimbang penglibatan agensi Singapura itu bukan sahaja meliputi penglibatan dalam soal perancangan perumahan tetapi juga diberi akses kepada maklumat sensitif kerajaan negara kita berkaitan demografi.
“Soalnya apa istimewa HDB Singapura hingga menteri DAP KPKT beriya benar nak bawa masuk ke Malaysia? Dah pupus ke pakar-pakar perancangan bandar tempatan?
“Atau ada udang di sebalik batu untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura? Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar,” kata Faiz.
Beliau turut mempertikaikan apakah tindakan Nga itu telah mendapat kebenaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, Faiz turut mempersoalkan di mana suara pemimpin UMNO berhubung langkah tersebut.
“Saya bimbang ada grand design politik yang besar di sebalik usaha ini. Kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang.
“Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana. Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat sahaja rumah-rumah atau projek pembangunan khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya.
Leave a Reply