AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap kesucian Islam melalui provokasi melampau yang cuba menyemarakkan gerakan Islamofobia dan kebencian terhadap agama Islam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, insiden membakar kitab suci al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden, merupakan satu bentuk pencabulan keharmonian bermasyarakat yang teramat serius serta tindakan keji dan biadab yang tidak boleh dibiarkan sama sekali.
“Jenayah kebencian secara terang-terangan ini tidak boleh dibiarkan atas apa juga alasan toleransi atau berselindung di sebalik dakyah kebebasan bersuara.
“Sweden perlu bertindak menghukum kesemua pelakunya kerana ia bukan kejadian pertama yang didalangi Rasmus Paludan dan kumpulan Stram Kurs.
“Dalam hal ini, Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mengambil pendirian untuk bersolidariti bersama dengan Kerajaan bagi mempertahan kesucian agama Islam dan menentang sebarang unsur Islamophobia, ekstremisme, radikalisme, kebencian serta keganasan,” katanya, dalam kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, adalah penting bagi Putrajaya memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyuarakan bantahan, kekecewaan serta kekesalan Malaysia secara rasmi berkaitan kejadian itu.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Larut, Malaysia selain itu perlu menuntut hukuman segera dikenakan ke atas pelaku serta memastikan insiden serupa tidak dibenarkan berlaku pada masa hadapan.
“Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang juga menyeru kepada Kerajaan agar lebih proaktif dalam mengajak serta memimpin masyarakat antarabangsa agar bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menghenti dan menentang sebarang bentuk perilaku Islamofobia, xenofobia serta tidak bertoleransi terhadap hasutan atau dasar yang menyemarak keganasan,” katanya.
Leave a Reply