Rumah terbuka Tahun Baharu Cina PN meriah

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina PN yang berlangsung di ibu pejabat Gerakan di Menara PGRM Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan tertinggi parti komponen PN iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin-pemimpin PN ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengenakan pakaian tradisi Cina ‘samfu’ berwarna merah jambu dan kehadirannya kira-kira 10.30 pagi tadi disambut dengan aksi tarian singa.

Pada majlis itu, Muhyiddin dan kenamaan lain turut menggaul ‘yee sang’, yang menjadi acara tradisi setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, sebagai simbolik memperoleh kesejahteraan dan semua perkara dilakukan memperoleh keuntungan, lapor BH Online.

Selain menyediakan gerai dengan aneka juadah, pelbagai acara menarik turut mengisi sambutan itu, antaranya persembahan tarian tradisional, alunan gendang dan pemberian ‘angpau’ kepada anak yatim.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang beramah mesra serta menyampaikan ‘ang paw’ kepada kanak-kanak ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *