DUA keluarga yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina terkejut dan sedih apabila rumah berkembar dua tingkat yang didiami mereka di Jalan Yun Chai Lok, Sibu musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan dibantu BBP Sibu Sentral bergerak ke lokasi kejadian selepas menerima makluman berhubung kebakaran pada pukul 8.18 pagi
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah yang pertama dan sudah merebak ke rumah yang kedua.
“Selepas bertungkus-lumus memadam kebakaran, api berjaya dikawal dalam masa satu jam setengah iaitu pada jam 9.36 pagi yang kemudiannya diteruskan dengan proses penyejukan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi memadam kebakaran agak sukar kerana salah sebuah rumah dipenuhi dengan lapisan beg plastik di bahagian garaj kediaman yang menyukarkan api dipadam.
Menurutnya, selepas menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’, maka operasi memadam kebakaran ditamatkan pada pukul 3.56 petang.
Turut musnah dalam kebakaran ialah kereta yang diletakkan pada tempat parkir kenderaan.
Namun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lapor Harian Metro.
Leave a Reply