Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI lima maut termasuk dua kanak-kanak manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.
Kemalangan pada pukul 5.08 petang itu melibatkan kereta Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream.
Mereka yang terkorban Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Adil Abdul Kadir, 23, dan Muhammad Syakir Noramin serta Mohammad Ashraf Radiq Abdullah masing-masing berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati Perodua Myvi dari arah Kluang menghala ke Kahang manakala Honda Stream dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan melanggar Honda Stream sebelum Honda Stream berkenaan terbalik dan jatuh ke kawasan lapang di bahu jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, lima mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian.
“Semua mangsa yang beralamat di Arau, Perlis; Hulu Langat, Selangor; Kuala Lumpur dan Layang Layang di sini cedera di bahagian tengkuk
dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera ialah Mohd. Sharizan Syafandi, 24; Siti Nurzannah Kahdar, 25; Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 6;
Zulkeflly Zakariah, 54; Kamariah Yusof, 47 dan Ariana Nur Batrisyah Zulkeflly, 13.
“Mereka yang beralamat di Muar, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kecederaan antaranya cedera di muka, pinggul, tangan dan
luka. Semua masih menerima rawatan di Zon Kuning dan Merah di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini.
“Siti Nurzannah dan Masrina serta Muhammad Zharfan dan Muhammad Syakir merupakan adik beradik manakala Zulkeflly dan Kamariah adalah pasangan suami isteri manakala Ariana Nur Batrisyah adalah anak mereka,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shamsul Amri Mohd. Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.40 petang.
Susulan itu katanya, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
Pihak bomba katanya, mengeluarkan seorang mangsa dalam Honda Stream menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke Hospital Kluang menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa lain yang terlibat dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi dan operasi tamat pukul 6.27 petang.
Leave a Reply