BEBERAPA negara mengecam keputusan membenarkan pembakaran al-Quran oleh pelampau sayap kanan Sweden-Denmark serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan.
Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyatakan Eropah berselindung di sebalik kebebasan bersuara dengan ‘membenarkan unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian.’
Jurucakap kementerian itu Nasser Kanaani berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan kerajaan Sweden untuk ‘mencegah’ kejadian seperti itu dan memastikan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman, lapor Agensi Anadolu.
Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan telah mendapat kebenaran untuk membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Kuwait Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah dalam satu kenyataan berkata insiden itu menguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu provokasi yang serius.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa bersama menggalas tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu serta mengecam semua bentuk kebencian dan ekstremisme serta membawa pelaku ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Iran KUNA.
Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu menjejaskan sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.
Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.
Leave a Reply