Boikot tak bantu peniaga, Ismail beritahu Rafizi

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menegur sikap menteri yang dianggap mudah ‘melepaskan tangan’ dengan menghukum peniaga yang dikatakan masih menjual makanan pada harga tinggi.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kenyataan menjurus kepada ‘pemboikotan’ terhadap peniaga tidak membantu rakyat kerana mendakwa golongan itu masih terkesan peningkatan kos bahan mentah.

“Malah hari ini, lihat laporan media kalau harga makanan meningkat, boikot kedai makanan. Kenyataan seperti ini tidak membantu rakyat.

“Kalau bahan mentah meningkat, (seperti) sayur harga mahal pasti peniaga-peniaga di restoran naik harga. Kalau boikot peniaga pasti menyusahkan mereka, tak (juga) bantu mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

“Pengguna perlu bertindak balas dengan lebih cepat terhadap perubahan harga. Itu cara terbaik untuk kita mempengaruhi keputusan peniaga terutamanya di restoran,” kata Rafizi.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan sepatutnya terus melaksanakan usaha memastikan harga bahan mentah turun.

“Jadi, kerajaan patut fikir soal ini bukan kenyataan begitu mudah melepaskan tangan dan hukum pula peniaga restoran. Banyak perkara diadu rakyat perlu diambil tindakan segera kerajaan,” katanya lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *