UMNO bukan milik pemimpin tertinggi saja, KJ balas Puad

KHAIRY Jamaluddin membalas semula sindiran Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi terhadapnya, selepas dia memuji dua tindakan dua ahli parti itu yang membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO.

Khairy berkata UMNO adalah parti milik anggotanya dan mana-mana anggota ada hak untuk mendapatkan penjelasan daripada ROS.

“Adakah UMNO hanya milik kepimpinan tertinggi? UMNO milik semua anggotanya. Mana-mana anggota boleh minta penjelasan daripada ROS.

“Kita mesti hormat mana-mana anggota Umno yang mahukan kejelasan memandangkan usul (UMNO bahagian) Rembau sangat kontroversi dan ramai pakar undang-undang mempersoalkan kesahannya,” katanya seperti dipetik New Straits Times, hari ini.

Bekas ahli parlimen Rembau juga mengulangi sokongannya terhadap mana-mana anggota Umno yang mahu mendapatkan penjelasan berkenaan kesahan usul itu.

Terdahulu, Puad membidas tindakan dua ahli UMNO tersebut serta menyindir Khairy kerana menyuarakan sokongannya.

“Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. itu baru berani namanya

“Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?” kata Puad.

Dua ahli UMNO berkenaan – Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (ahli UMNO Negeri Sembilan) dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (Terengganu) – sebelum ini dilaporkan menghantar notis bantahan kepada ROS.

Mereka mendakwa usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Mereka memetik Perkara 9.3 Perlembagaan UMNO yang menyatakan jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipilih menerusi mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

Usul agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dibawa perwakilan UMNO Rembau Mohd Shukri Samsudin, yang menghantar usul tambahan ketika membahaskan ucapan dasar presiden ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *