Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
Terdapat pelbagai jangkaan mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) misalnya Pulau Pinang memberi bayangan ia akan diadakan pada bulan Jun kerana tempoh masa yang ada ketika ini singkat untuk diadakan PRN.
Begitu juga dengan Negeri Sembilan yang akan membubarkan DUN pada bulan Mei yang pada dasarnya bermakna PRN perlu diadakan pada Jun atau Julai.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Sanusi Md Nor pula berkata pihaknya sudah membuat beberapa tarikh cadangan PRN kepada pimpinan atasan Perikatan Nasional (PN) yang mana tarikh paling awal ialah pada Mac dan selewat-lewatnya pada Ogos.
Walau apa pun jangkaan tarikh, PRN mesti diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Semua ketua menteri dan menteri besar perlu sepakat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memilih tarikh sesuai bagi memudahkan orang ramai membuang undi dan paling utama dapat menjimatkan kos apabila diadakan dengan serentak.
Bagi penulis, PRN kali ini adalah saat yang ditunggu-tunggu kerana ia adalah pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mana jajaran politik adalah berbeza tidak seperti mana sebelum pilihan raya.
BN yang dulunya bermati-matian menegaskan tidak akan bersama PH kerana dianggotai DAP, kini telah bersama dengan gabungan itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya, pada kali ini penulis akan memberi fokus kepada PRN Selangor kerana negeri tersebut dianggap sebagai kubu kuat PH di mana kedudukan kerusi sebelum jajaran politik ialah PKR memiliki 19 kerusi, DAP (15), Amanah (6), Barisan Nasional (5), Bersatu (4) manakala Pas, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan bebas masing-masing satu kerusi.
Berdasarkan jajaran politik baharu, PH mempunyai 45 kerusi + 2 daripada kerusi Warisan dan PBM, manakala PN memiliki lima kerusi dan baki satu kerusi daripada bebas.
Berdasarkan jumlah kerusi itu memang tidak disangkal yang PH mempunyai kekuatan yang cukup besar di negeri Selangor.
Maka tidak hairanlah apabila ‘pakar’ formula yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli begitu yakin Selangor akan terus diterajui PH dengan jumlah kerusi yang hampir sama pada ketika ini.
Memang diakui agak sukar untuk PN menawan Selangor, tetapi pada pandangan penulis tiada yang mustahil kerana situasi politik yang berlaku ketika ini tidak lagi sama seperti sebelum ini.
Contohnya, pada PRU15 lalu, PH kehilangan empat dari 20 kerusi milik mereka kepada PN yang mana pada waktu itu pengundi belum mengetahui ada komplot politik antara PH dan BN.
Dan setelah berakhirnya PRU15 apabila pengundi mengetahui mereka telah ditipu dan dikhianati, adakah PH-BN akan memperolehi sokongan yang sama?
Oleh sebab itu, menarik untuk kita lihat bagaimana kecenderungan pengundi kali ini kerana bacaan ringkas yang dapat dibuat, pengundi Melayu majoritinya akan beralih kepada PN kerana kecewa dengan penggabungan PH dan BN.
Bagi pengundi atas pagar yang lain, sejak negeri itu bertukar kepimpinan daripada Azmin Ali kepada Amirudin Shari, tiada perubahan besar kepada hidup rakyat yang boleh dibanggakan.
Masalah-masalah komuniti seperti jalan rosak, infrastruktur dan keperluan masyarakat bandar tidak dapat ditangani dengan menyeluruh walaupun negeri itu telah diambil alih daripada BN pada tahun 2014.
Maka, untuk mengatakan rakyat Selangor selesa berada di bawah pemerintahan PH, ia adalah fakta yang boleh dipertikaikan.
Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi
Leave a Reply