Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

TURKIYE pada Jumaat memanggil duta Sweden ke Ankara susulan rancangan untuk membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turki di Stockholm.

Menurut sumber diplomatik Turki, duta itu Staffan Herrstrom telah dimaklumkan mengenai pendirian Turkiye yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas satu perbuatan jenayah kebencian dan tindakan itu juga tidak boleh diterima. Ankara berharap rancangan berkenaan tidak diteruskan.

Membenarkan aktiviti propaganda yang sedang dirancang oleh pihak bersekutu PKK di Stockholm jelas sudah melanggar perjanjian tiga pihak, lapor Agensi Anadolu memetik sumber.

Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menurut polis Stockholm.

Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *