umat

Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN – Hadi

PAS akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tiga negeri di bawah pimpinan parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan. 

Katanya terpulang kepada tiga negeri lain di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sama ada akan mengikut tarikh yang ditetapkan itu nanti.

“Kita akan ada keputusan tersendiri, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Gelombang Rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Kenduri Rakyat di Ladang Alam Warisan, Kampung Tanah Datar, Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata DUN negeri ini dijangka dibubarkan pada Mei ini, dan beliau bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sedia berbincang dengan tiga Menteri Besar di bawah pimpinan PAS mengenai perkara itu. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *