SEBANYAK 120 individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian haram menerusi Op Limau yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina.
Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan, suspek termasuk 115 lelaki ditahan sejak minggu lalu dalam 20 serbuan dengan nilai rampasan wang tunai RM92,481.
Katanya, PDRM menerusi Bahagian Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen dan Daerah menjalankan Op Limau selama 15 hari bermula 15 Januari hingga 29 Januari ini.
“Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan serta judi tempat terbuka, yang tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya hari ini.
Sementara itu, Noorsiah berkata, polis akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkannya melalui Hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477.
Leave a Reply