24 hari hanyut di laut, lelaki hanya makan sos tomato, serbuk bawang putih

SEORANG lelaki yang dihanyutkan di Laut Caribbean selama 24 hari hanya bertahan hidup dengan memakan sos tomato sebelum dia diselamatkan Tentera Laut Colombia, Rabu lalu.

Elvis Francois, 47, dijumpai 120 batu nautika di barat laut Puerto Bolívar di Colombia selepas sebuah pesawat ternampak perkataan “tolong” tertulis pada badan kapal layarnya.

“Saya tiada makanan. Hanya ada sebotol sos tomato yang berada di atas bot, serbuk bawang putih, dan kiub stok Maggi.

“Jadi saya campurkannya dengan sedikit air,” kata Francois dalam video yang disediakan oleh tentera Colombia.

Francois yang berasal dari negara pulau Dominica berkata, dia sedang membuat pembaikan pada botnya di pulau Saint Martin Disember lalu apabila cuaca buruk menghanyutkannya ke laut.

Disebabkan tiada pengetahuan pelayaran dan tidak dapat menggerakkan bot kembali ke pantai, dia terpaksa menghabiskan tempoh beberapa minggu di laut.

“Dua puluh empat hari – tiada tanah, tiada siapa untuk bercakap.

“Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tidak tahu di mana anda berada. Memang teruk.

“Pada masa tertentu, saya putus harapan. Saya fikir tentang keluarga saya,” kata Francois, lapor Astro Awani.

Selepas diselamatkan, Francois dipindahkan ke bandar pelabuhan Cartagena di mana dia menerima rawatan perubatan dan diserahkan kepada pihak imigresen sebelum dihantar pulang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *