“WELL done, guys. Ada yang masih berani dan waras dalam UMNO.”
Itu reaksi bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin susulan tindakan dua ahli parti itu menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), pagi tadi.
Ini berhubung usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 minggu lalu mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Menerusi Instagram Story hari ini, Khairy menghamburkan pujian terhadap tindakan dua ahli UMNO itu yang disifatkan berani dan masih ‘waras’.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan pada masa sama yakin dengan kredibiliti RoS untuk membuat keputusan berhubung isu berkenaan.
“Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk buat semakan terhadap usul Rembau di PAU,” jelas beliau, lapor Utusan TV.
Sebelum itu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Ia dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.
Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Sabtu lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada hari yang sama, berkata mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan sah atau tidak.
UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini.
Leave a Reply