Tahanan meninggal dunia dalam lokap akibat jantung tersumbat

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG tahanan lelaki meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah akibat saluran darah jantungnya tersumbat (coronary atherosclerosis), malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, kematian lelaki berusia 35 tahun itu disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Baling kira-kira pukul 10.22 malam.

Menurutnya, tahanan lelaki tersebut pada asalnya dibawa dari Penjara Alor Setar pada 17 Januari lalu untuk menghadiri sebutan semula kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 da Seksyen 15(1)(a) Akta sama di Mahkamah Majistret Baling.

“Sebutan semula kes itu berlangsung pada 18 Januari dan orang kena tahan (OKT) ditumpangkan sementara di lokap tersebut. Selepas sebutan semula kes berjalan, OKT kemudiannya ditempatkan kembali di lokap IPD Baling dan dijadualkan dihantar kembali ke Penjara Alor Setar semalam.

“Namun kira-kira pukul 9.40 malam, OKT mengalami sesak nafas dan sawan. Pihak polis segera menghubungi Hospital Baling dan pegawai perubatan kemudiannya hadir ke lokap memberi rawatan kepada OKT.

“OKT bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 10.22,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, bedah siasat terhadap jasad lelaki tersebut telah dijalankan semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa disebabkan oleh saluran darah jantung yang tersumbat (coronary atherosclerosis).

“Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bersama Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai aspek sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *