BEKAS Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, P. Ramasamy menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana menyifatkan akta itu sebagai kejam.
Ini kerana dakwa Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, tahanan di bawah SOSMA tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang.
Selain itu, kata beliau, akta SOSMA juga disifatkan bertentangan dengan perikemanusiaan kerana pihak berkuasa boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa waran dengan hanya mempercayai mereka terlibat dengan jenayah keselamatan.
Ujarnya, individu itu juga boleh ditahan maksimum selama 28 hari tanpa dibicarakan di mahkamah manakala akses kepada keluarga serta peguam mereka boleh ditangguhkan sehingga 48 jam selepas ditahan selain tidak dibenarkan diikat jamin.
“Saya tidak bermaksud menyatakan tahanan SOSMA ini tidak bersalah, tetapi kenapa mereka tidak ditahan di bawah undang-undang sedia ada seperti di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan keluarga seramai 33 individu dari Kedah yang dikenakan tahanan SOSMA sejak 2020 tanpa dibicarakan.
Menurut Ramasamy, pada masa ini terdapat lebih 100 tahanan di bawah SOSMA di seluruh negara yang tidak mendapat perbicaraan di mahkamah.
Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar membantu tahanan SOSMA terbabit supaya dapat dilepaskan daripada tahanan untuk dibicarakan di mahkamah seterusnya memansuhkan SOSMA sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mengulas lanjut, tambah beliau, tahanan-tahanan SOSMA telah melalui pelbagai keperitan seperti tahap kesihatan yang merosot, masalah kebersihan dan kesan negatif terhadap psikologi semasa berada dalam tahanan.
Tambahnya, kebanyakan tahanan SOSMA itu jug masih muda iaitu bawah 40 tahun dan berasal dari keluarga berpendapatan rendah serta merupakan ketua keluarga.
“Ahli keluarga tahanan SOSMA juga mengalami pelbagai keperitan terutamanya membabitkan masalah kewangan yang serius bagi perbelanjaan sara hidup selain terpaksa mengeluarkan wang untuk mendapatkan khidmat peguam,” katanya.
Leave a Reply