SEORANG ibu bersama bayi lelakinya yang berusia enam bulan maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, malam semalam.
Kejadian pukul 12.40 tengah malam itu, Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta jenis Perodua Axia bersama bayinya, Muhammad Alfah Abdul Rahim, enam bulan maut di tempat kejadian.
Suami mangsa pula patah tangan kiri dan pinggang manakala anak lelakinya yang berusia lima tahun patah di kedua-dua kaki dan mereka dirawat di Hospital Kuala Krai.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar, Perodua Axia yang dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Subang Selangor menuju ke Kota Bharu.
“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 28 tahun itu hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Naza Ria.
“Akibat dari pertembungan itu, seorang wanita bersama bayi lelakinya berusia enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azmi berkata, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.
“Manakala pemandu kereta Naza Ria tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply