Ganjaran lima papan telur sebagai pemain terbaik perlawanan dikritik

BUKAN piala mahu pun pingat. Tapi lima papan telur ayam.

Itu hadiah yang diterima seorang pemain bola sepak Liga Super Zambia sehingga mencuri perhatian peminat bola sepak antarabangsa.

Ganjaran itu diterima Kennedy Musonda selepas membantu kelabnya, Power Dynamos mencatat kemenangan 1-0 dalam satu perlawanan.

Gol yang dijaringkannya membantu kelab Power Dynamos mendapat tiga mata penting.

Ini melayakkan Musonda dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan menerima ganjaran lima papan telur ayam sehingga menjadi buah mulut peminat bola sepak.

Perlawanan antara Power Dynamos menentang Nkana berlangsung pada November lalu namun ia baru menjadi topik perbualan selepas gambarnya dimuat naik akaun Twitter Troll Football.

Beberapa platform media sukan antarabangsa dan peminat bola sepak mengkritik bentuk ganjaran yang diberikan itu.

Namun Musonda tidak terkesan, sebaliknya berterima kasih atas hadiah tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pengurusan dan saya juga ingin mendedikasikan telur ini kepada salah seorang penyokong kami yang meninggal dunia baru-baru ini,” katanya, lapor Astro AWANI.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *