ANAK keempat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Ilham mendakwa menjadi mangsa buli pengguna jalan raya, hari ini.
Nurul Ilham berkata, beliau telah menjadi mangsa buli seorang wanita yang memandu kereta jenis Proton Iriz.
Beliau turut berkongsi video berdurasi 14 saat mengenai kejadian itu di ciapan Twitter miliknya.
Katanya, pemandu kereta Proton Iriz itu berterusan menekan brek ketika berada di lorong laju.
Sehubungan itu beliau menyatakan kebimbangan dengan cara pemanduan wanita berkenaan yang disifatkan sangat berbahaya apatah lagi anaknya berada dalam kenderaan itu ketika kejadian.
“Saya biasanya tidak berkongsi tentang perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini.
“Kereta ini terus menekan brek di lorong laju. Sangat berbahaya dan saya mempunyai anak yang berumur dua tahun bersama saya.
“Berada di sana selama satu minit sebelum wanita itu menukar ke lorong lain,” katanya, lapor UtusanTV.
Mengulas lanjut, Nurul Ilham berkata, kejadian tersebut bermula di plaza tol apabila pemandu berkenaan secara tiba-tiba membunyikan hon ke arah kenderaannya yang mahu ke lorong Touch N’ Go.
“Saya telah memberi isyarat untuk pergi ke kiri tetapi saya tidak nampak dia (mahu) pergi ke kanan (lorong Smart Tag). Mungkin dia marah mengenai perkara itu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nurul Ilham tidak berkongsi lokasi kejadian itu secara tepat.
Perkongsian itu mendapat perhatian netizen dengan ada antaranya meminta beliau melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Sehingga pukul 8.30 malam ini, video kejadian itu telah ditonton sebanyak 428,400 kali dengan 2,792 tanda suka.
Ia juga telah diulang kicau sebanyak 1,349 kali.
Leave a Reply