KIRA-KIRA 74 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia percaya pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam tempoh 12 bulan akan datang, demikian menurut Tinjauan CEO Global Tahunan ke-26 PwC.
Menurut Berita Harian, menerusi tinjauan yang disiarkan hari ini, angka berkenaan adalah hampir sama dengan sentimen membabitkan CEO seluruh dunia yang mencatatkan 73 peratus.
“Tinjauan CEO yang suram kali ini adalah pandangan CEO yang paling pesimis terhadap pertumbuhan ekonomi global sejak kami mula bertanyakan soalan ini 12 tahun yang lalu.
“Ia adalah perubahan ketara daripada prospek 2021 dan 2022 yang lebih optimis, apabila lebih daripada tiga perempat di seluruh dunia (masing-masing 76 peratus dan 77 peratus) berpendapat pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik.
“Trend ini adalah serupa di Malaysia, yang mana sentimen tempatan berbeza pada 2022 (apabila 92 peratus CEO Malaysia menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi global) dan pada 2021 (71 peratus menyatakan optimistik),” katanya.
Tinjauan itu dibuat membabitkan 4,410 CEO di 105 negara dan wilayah pada Oktober dan November 2022.
Selain itu, tinjauan berkenaan melaporkan, di samping persekitaran mencabar, hampir 40 peratus CEO di seluruh dunia dan 51 peratus CEO Malaysia berpendapat organisasi mereka tidak akan berdaya maju daripada segi ekonomi dalam tempoh sedekad ini jika mereka meneruskan hala tuju semasa.
Corak ini katanya, adalah konsisten merentas pelbagai sektor di seluruh dunia, termasuk telekomunikasi (46 peratus), pembuatan (43 peratus), penjagaan kesihatan (42 peratus) dan teknologi (41 peratus).
“Di peringkat global, keyakinan CEO terhadap prospek pertumbuhan syarikat mereka sendiri juga merosot secara mendadak sejak tahun lalu (-26 peratus), penurunan terbesar sejak krisis kewangan 2008-2009 apabila penurunan sebanyak 58 peratus direkodkan,” katanya.
Menurut tinjauan itu lagi, sebagai tindak balas kepada iklim ekonomi semasa, CEO sedang mencari kaedah untuk mengurangkan kos dan merangsang pertumbuhan hasil.
52 peratus daripada CEO global (74 peratus di Malaysia) melaporkan mahu mengurangkan kos operasi, manakala 51 peratus secara global (40 peratus di Malaysia) melaporkan kenaikan harga dan 48 peratus secara global (63 peratus di Malaysia) melaporkan mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan, katanya.
“Bagaimanapun, lebih separuh di seluruh dunia atau 60 peratus, mengatakan mereka tidak merancang untuk mengurangkan saiz tenaga kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Sebilangan besar di seluruh dunia atau 80 peratus pula menunjukkan mereka tidak bercadang untuk mengurangkan imbuhan kakitangan bagi mengekalkan bakat atau mengurangkan tenaga kerja.
“Perkadaran itu lebih tinggi dalam kalangan CEO Malaysia, dengan 71 peratus tidak merancang untuk mengurangkan tenaga kerja, dan 83 peratus tidak merancang untuk mengurangkan imbuhan, kerana mereka berusaha untuk mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan jangka panjang dan isu operasi semasa,” katanya.
Rakan Pengurusan PwC Malaysia, Soo Hoo Khoon Yean, berkata implikasi isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam bidang teras perniagaan menjejaskan keyakinan CEO.
Katanya, rantaian bekalan ialah bidang yang dijangka paling ketara terjejas oleh risiko perubahan iklim dalam tempoh 12 bulan akan datang (51 peratus CEO Malaysia berbanding 42 peratus daripada rakan sejawatan global).
“Ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kepercayaan pelanggan, yang bergantung pada keseimbangan seandainya terjejas oleh gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Leave a Reply