4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 3.15 petang semalam selepas didapati dikendalikan empat kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu diperiksa ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan OP PERTIWI.

Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.4 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berumur antara 30 hingga 45 tahun yang mana kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 200 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan.

Tegas beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

“Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *