DUA pegawai Jabatan Laut Wilayah Utara termasuk seorang berpangkat timbalan pengarah antara empat ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah dalam bentuk tajaan percutian ke Langkawi.
Perintah reman enam hari sehingga 23 Januari ini dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret di Georgetown hari ini.
Semua suspek ditahan antara jam 4.30 petang hingga 10 malam selepas masing-masing dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang semalam, lapor Berita Harian.
Sumber SPRM memaklumkan, dua pegawai Jabatan Laut Wilayah Utara termasuk seorang wanita itu disyaki meminta dan menerima rasuah tajaan percutian ke Langkawi di Kedah iaitu dalam bentuk tiket penerbangan dan penginapan bernilai RM2,808.12 daripada dua lagi suspek yang ditahan.
Katanya, ia sebagai balasan kerana memilih dan memberikan kerja sebut harga di Jabatan Laut Wilayah Utara.
Dua lagi suspek yang direman hari ini masing-masing bekerja sebagai pengarah syarikat dan kontraktor, dengan semua empat individu berusia antara 30 hingga 52 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Permohonan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan semua suspek diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangaan (YBGK).
Leave a Reply