JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun seberat 1.6 tan bernilai RM87,010 dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di George Town, 9 Januari lalu.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, mercun yang dipercayai diseludup untuk sambutan Tahun Baharu Cina itu dirampas di dalam 463 kotak dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi.
Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 42 tahun yang sedang memunggah barang tersebut ke dalam sebuah lori.
“Siasatan mendapati mercun dan bunga api tidak berkastam itu dibawa masuk melalui salah sebuah negara di Asia Tenggara menggunakan pengangkutan darat secara tidak sah dengan nilai cukai sebanyak RM56,556.50,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, tambah beliau, JKDM Pulau Pinang turut merampas sejumlah 510 unit dapur memasak hob (elektrik) yang disyaki tidak berkastam bernilai RM358,500 dengan duti dan cukai berjumlah RM114,720.
Hamisan berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, kira-kira pukul 11 pagi, 10 Januari lalu yang dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan.
“Dagangan ini dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Timur dan seorang wanita berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan, namun dilepaskan dengan jaminan,” katanya.
Sementara itu, ujarnya, JKDM Pulau Pinang turut merampas sebanyak 129 unit skuter elektrik disyaki tidak berkastam bernilai RM283,800 dengan duti dan cukai berjumlah RM85,140 dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Disember lalu.
Ujar beliau, skuter terbabit diikrar sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam Borang K1 dan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kedua-dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave a Reply