Pegawai dan dua anggota bomba cedera semasa padam kebakaran

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG pegawai dan dua anggota bomba cedera ketika memadam kebakaran di dua gudang penyimpanan kertas dan plastik terpakai di Taman Perindustrian Ria Jaya, Sungai Petani, pada pukul 5.18 pagi tadi.

Ketua Zon 2 Bomba, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Syobirin Ab. Kadir berkata, insiden menyebabkan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhd. Farhan Shaari @ Zakaria ,41, cedera di kaki kanan selepas ditimpa bongkah mampat kertas.

Sementara dua anggota iaitu Muhd. Alwi Mohd. Norizan, 34, dan Nurul Hafizah Ahmad, 41, masing-masing cedera akibat melecur di bahagian leher dan pipi.

“Kesemua yang cedera merupakan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani. Mereka diberikan rawatan awal sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya.

Menurut Syobirin kesemua mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.

Mereka yang cedera merupakan pegawai dan anggota BBP Sungai Petani, diberikan rawatan awal sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)

Sementara itu, beliau memaklumkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 melibatkan gudang berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati dua buah gudang iaitu blok yang menyimpan bongkah mampat kertas dan blok yang menyimpan bongkah mampat plastik sedang terbakar.

“Pegawai dan anggota seramai 27 orang daripada BBP Aman Jaya dan BBP Sungai Petani bersama enam jentera kemudian mengawal kebakaran,” katanya.

Katanya, mereka turut mendapat bantuan 15 orang anggota dan empat jentera daripada Balai Bomba Sukarela Semeling, Sungai Petani, Bedong dan Merbok untuk memadam kebakaran itu.

“Gudang yang menempatkan bongkah plastik terpakai itu bagaimanapun hangus terbakar dan kini usaha mengawal kebakaran masih diteruskan di sebuah lagi gudang,” katanya.

Menurut beliau, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *