Kerjasama BN-PH tak mampu kalahkan PN di Pantai Timur, kata penganalisis

KESEDIAAN UMNO untuk mengagihkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlaku tahun ini memberi isyarat seolah-olah parti itu semakin hilang sokongan Melayu terutama di negeri-negeri Pantai Timur, kata beberapa penganalisis.

Mereka berpandangan usaha UMNO mengelakkan pertembungan dengan PH di Terengganu ibarat cubaan ‘menyelam sambil minum air’ apabila langkah ini meningkatkan peluang mereka meraih kemenangan dan pada masa sama membuktikan keikhlasan terhadap kerjasama dengan gabungan dipimpin Datuk Seri  Anwar Ibrahim itu.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpandangan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH masih tidak cukup kuat untuk menghalang kekuatan Perikatan Nasional (PN) terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, cadangan pengagihan kerusi yang dipercayai akan berlaku antara dua blok itu mungkin didorong atas faktor mereka semakin kekurangan kerusi di kawasan terbabit.

“Secara umumnya, PH dan BN semakin ditolak di negeri-negeri itu, jadi mereka pun ‘bermurah hati’ antara mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambah Oh, di negeri-negeri yang dikuasai PH pastinya akan menyaksikan rundingan sengit memandangkan gabungan itu dan BN akan lebih yakin untuk memenangi sebahagian daripada kerusi yang dipertandingkan.

Sementara Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, langkah ini juga membuktikan UMNO tidak lagi mampu bergerak solo dan memerlukan bantuan parti komponen PH untuk kekal relevan.

Jangkaan beliau ialah UMNO yang menerajui BN mungkin memberi laluan kepada PH terutama di kawasan yang dipercayai hampir mustahil untuk parti itu menang.

“Ketika ini mereka tidak mendapat sokongan Melayu, jadi kerjasama dengan PH penting.

“Hanya dengan kerjasama kukuh antara pakatan itu dapat beri kesan positif kepada UMNO atau BN untuk mereka menang. Tak boleh sendiri, perlu sokongan PH,” katanya.

Pada 7 Januari, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rozi Mamat memaklumkan BN bersedia untuk mengagihkan kerusi kepada PH pada PRN di negeri itu dan perbincangan akan diadakan selepas mendapat arahan daripada pemimpin pusat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November, PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan serta menawan majoriti kerusi di Pahang yang merupakan kubu kuat UMNO setelah sekian lama.

Melangkah ke hadapan, Malaysia bakal melalui fasa pilihan raya sekali lagi apabila PRN dijangka berlaku tahun ini di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tidak melakukan pembubaran selari dengan kerajaan Pusat pada PRU-15.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, sekiranya ada keterbukaan komitmen antara BN dan PH, maka ada potensi PH untuk mengambil pendekatan sama di negeri-negeri yang ditadbirnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *