Datuk Dr Sahruddin Jamal

50 hari pentadbiran PM, lebih berdarama daripada bekerja

Oleh DATUK DR SAHRUDDIN JAMAL

1.Sekiranya diamati, sudah lebih 50 hari saudara Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai PMX. Sejarah hidup yang pastinya tidak akan dapat dilupakan oleh beliau dan kumpulan penyokongnya. Mana tidaknya, selama ini diherdik sana sini sebagai ‘PM Tepi’

2.Siapa sangka gandingan ‘Cikgu-Murid’ telah berjaya mengangkat beliau sebagai PM. Selang seminggu kemudian, dua timbalan PM termasuk ‘murid beliau’ berserta 25 menteri kabinet kerajaan campuran mengangkat sumpah jawatan, sekali gus menerima amanah dipertanggungjawabkan.

3.Mungkin tidak terlambat untuk saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada ‘rakan lama’ dalam PH dan BN atas pembentukan kerajaan yang memerintah pada hari ini. Suka atau tidak, PN perlu ‘move on’ dan iya, kami sudah pun ‘move on’.

4.Tetapi, agak hairan apabila kami ‘move on’, nama PN dan pemimpin tertinggi BERSATU dan PAS terutamanya diratib berterusan. Kaitkan pula dengan ‘Langkah London’ seumpama ‘takut dengan bayang-bayang sendiri’ bagi menutup ‘Langkah Kinabalu’ yang gagal.

5.Berbalik kepada matlamat asal PN iaitu untuk semak dan imbang, sepanjang tempoh 50 hari yang sudah berlalu, saya tidak melihat perkara yang boleh dibanggakan dengan pentadbiran PMX. Begitu juga Jemaah Menteri yang dilantik walaupun belum melepasi tempoh yang sama.

6.Saya tidak langsung merasai kesungguhan PMX dan PH khususnya untuk merealisasikan 10 Keutamaan Tawaran Harapan bagi kempen PRU15. Itu belum lagi disentuh ikhtiar dalam Perancangan Amal dan Usaha BN atau PADU. Salah satunya, kos sara hidup.

7.Sehingga kini, isu kos sara hidup masih membelenggu rakyat. Suara menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bersasar untuk terakhir kalinya masih kedengaran. Kenapa begitu?Tidak kurang pula keluhan rakyat di lapangan dalam meniti liku hidup.

8.Masalah bekalan di pasaran tidak berkesudahan. Kerajaan mengambil keputusan mengimport telur dari negara luar bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan. Sedangkan isu sebenar adalah menyelesaikan masalah dalaman dihadapi pengeluar domestik.

9.Pakar ekonomi ketika pembangkang, saudara Rafizi Ramli sehingga kini masih belum berjaya mengemukakan formula yang dapat memulihkan ‘poket’ rakyat walaupun sudah menjadi menteri. Tertunggu-tunggu juga apa yang akan membuatkan PN ‘terduduk’. Jangan pula beliau yang ‘terciduk’.

10.Sedang PMX tersenyum dengan jawatan beliau, Jemaah Menteri kerajaan campuran terus berkelakuan ‘abnormal’. Antaranya, pemberian tuala wanita percuma di pejabat menteri. Selain itu, disekat pula hak kebebasan bersuara rakyat terutama dalam aplikasi TikTok.

11.Seterusnya, ‘flip-flop’ mengenai pelantikan jawatan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Mula-mula, menamatkan perkhidmatan politik. Kemudian umum pelantikan, tiba-tiba ditangguhkan pula selepas teruk ‘dilanyak’ rakyat.

12.Itu belum dikira kos projek ECRL yang meragukan. Bekas menteri BN menyatakan kos akhir dimuktamadkan adalah RM50.27 bilion. PMX pula kata RM74.96 bilion dan ia telah berkurang berbanding kos asal iaitu RM85.97. Jadi, siapa bercakap benar dan siapa bercakap bohong?

13.Tidak dilupakan, keyakinan PMX untuk menurunkan harga minyak petrol dalam ceramah beliau ketika pembangkang. Setakat hari ini, harga minyak begitu juga. Tidak pula, RON 95 turun ke paras bawah RM2.00 dan RON 97 turun ke paras bawah RM3.00.

14.Kebimbangan rakyat terhadap kemasukan pelawat dari Negara China juga seakan tidak didengari. Rakyat telah merasai kesukaran dan kesengsaraan akibat pandemik COVID-19 dua tahun lalu. Hingga kini, virus ini masih wujud dengan pelbagai varian.

15.Belajarlah daripada pengalaman yang lalu. Tempoh suram yang terpaksa dilalui dunia dan negara akibat COVID-19, telah menghambat kita semua. Kini, dalam fasa endemik, kerajaan tidak boleh ambil mudah dalam menentukan soal kesihatan dan keselamatan awam.

16.Maka, setakat 50 hari saudara Anwar Ibrahim menjadi PMX, tiada apa yang boleh dibanggakan. Begitu juga lantikan Jemaah Menteri yang tiada ‘wow factor’. Sebaliknya, dari PMX hingga ke menteri dan timbalan menteri lebih banyak berkelakuan ‘tidak normal’.

17.Manifesto pilihan raya PH? Hancur atau bahasa pasarnya ‘hauk’ atau ‘ke laut’. Mahu perangi rasuah? Lihat dahulu siapa dalam barisan Jemaah Menteri terutama ‘murid kepada cikgu’. Manifesto BN saya enggan sentuh fasal ‘terlalu banyak’ kerusi dimenangi oleh mereka pada PRU15 yang lalu.

18.Amat malang apabila memiliki PM yang berbelit dalam bicaranya, gemar ‘pusingan-U’ serta tidak membuat ‘homework’ dan tiada perancangan sebelum bertindak. Seorang PM sepatutnya benar dalam tutur kata, diikuti oleh semua. Sebaliknya, PM yang ada jenis ‘cakap dulu, fikir kemudian’.

19.Kesimpulannya, saya bersama kepimpinan dalam PN sudah menjadi pembangkang. Seeloknya, biar kami sahaja jadi pembangkang dan PMX bersama Jemaah Menteri bertindaklah sebagai kerajaan. Ubah nada agar menampakkan kedudukan ‘kamu’ sebagai kerajaan yang memerintah.

20.Bukan berlagak menjadi pembangkang. Betulkan pola pemikiran dalam setiap tindakan demi menabur bakti kepada rakyat dan negara. Kalau tidak mampu, benarkan sahaja PN kembali ke Putrajaya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin kerajaan.

YB DATO’ DR. SAHRUDDIN BIN HAJI JAMAL
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Johor


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *