Usul ‘top 2’ UMNO tak dipertandingkan cacat, tak sah

PENGANALISIS politik yang juga seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 didakwa tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

Berikut kenyataan penuh Shamsuddin:

Saya diminta oleh Berita Harian Online untuk mengulas mengenai samada usul 2 jawatan presiden dan timbalan presiden umno tidak dipertandingkan.

Jawapan saya ialah usul itu tidak sah.

Alasannya:-

Peraturan Persidangan Umno menetapkan

a. Peraturan 4 menetapkan persidangan hendaklah diadakan menurut Perlembagaan Umno.

b. Peraturan 10 memperuntukkan apa juga usul yang hendak dibawa mesti disampaikan pemberitahu (notice) tidak kurang dari 14 hari. Tetapi kalau usul oleh MKT hanya perlu 7 hari atau apa juga tempoh yang lebih singkat jika MKT memberitahu Pengerusi perkara yang diusulkan itu mustahak. Kalau pengerusi setuju pada hari Persidangan itu pun boleh.

c. Peraturan 10.2 berbunyi “Jika pada fikiran Pengerusi sesuatu pemberitahu yang diterima oleh Setiausaha itu melanggar apa-apa syarat Peraturan Persidangan ini Pengerusi bolehlah memerintahkan pemberitahu itu dipinda atau ditolak”. (Pemberitahu itu ialah Notice)

d. Peraturan 10.3 berbunyi “Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam usul-usul atau pindaan-pindaan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha dengan bertulis”

e. Peraturan 20 adalah tentang Pindaan Usul. 20.1. menyebut pada masa usul itu sedang dalam pertimbangan Persidangan, boleh dicadangkan pindaan jika itu berkaitan dengan usul itu. 10.2 pula memperuntukkan “Pindaan itu pula dipinda jika berkaitan dengan usul asal itu”

Apakah usul asal dalam hal ini. Adakah usul asalnya seperti mana yang dibawa oleh Naib Presiden mengenai pindaan Perlembagaan dan yang lain? Adakah telah diputuskan samada usul yang dibawa oleh pembahas secara tiba-tiba itu telah diputuskan sebagai mustahak hingga tidak perlu diberi pemberitahu (notice)?

Kalau hendak dipinda usul asalnya seperti yang dihujahkan oleh SUA, adakah usul tiada pertandingan itu berkaitan dengan usul asal?

Atau adakah pembentang usul asal mahu memasukkan (adopt) usul yang dikemukakan secara semasa ucapan perbahasan oleh wakil negeri? Kalau itu mahu dilakukan, pembentang usul asal perlulah menyebut perkara itu dengan jelas dan diterima oleh perwakilan dan pengerusi. Kalau dijadikan sebagai pindaan kepada usul atau ditambah lagi satu usul, itu bermakna usul itu menjadi usul yang dikemukakan oleh MKT. Adakah MKT telah membincang dan meluluskan usul pindaan atau tambahan itu?

Atas alasan Peraturan Persidangan itu tidak diikuti dengan sempurna, usul yang dikatakan pindaan atau tambahan itu adalah cacat dan tidak patuhi peraturan.

Apabila cacat dan tidak patuhi peraturan, ianya adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Laporan Persidangan samada AGM atau EGM atau AGM Khas mesti dihantar kepada ROS daam tempoh yang ditetapkan. Fasal 29 Perlembagaan Umno menyebut Peraturan Persidangan itu hendaklah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Jika ROS mendapati ada Peraturan Persidangan yang tidak dipatuhi samada sepenuhnya atau sebahagiannya, ROS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul yang dibawa.

(Disclaimer : Saya yakin lain peguam lain pandangannya. Sistem kita ialah adversarial dan tiada masalah bagi saya adakan perbahasan lanjut)


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *