SEORANG sub kontraktor Telekom Malaysia (TM Malaysia) serta 13 pekerjanya ditahan polis selepas didapati menjadi dalang kejadian curi kabel milik syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.
Selain itu, lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pembeli kabel curi itu turut ditahan di sekitar Sungai Petani, Kedah.
Kesemua 19 individu yang ditahan itu berusia 27 hingga 47 tahun dan berasal dari Kedah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, 11 daripada suspek termasuk sub kontraktor itu ditahan pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanjung Bungah Park kerana disyaki melakukan kegiatan curi kabel.
“Beberapa hari sebelum itu, pihak syarikat menerima aduan mengenai gangguan bekalan internet di kawasan berkenaan.
“Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah dan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kabel bawah tanah melalui ‘man hole’ dengan menyamar sedang membuat tugas selenggara kabel TM untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Ujarnya, kabel-kabel yang dicuri itu akan dibawa ke tapak pelupusan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah menggunakan lori.
Difahamkan, setiap satu kilogram tembaga di dalam kabel berkenaan dijual di pasaran pada harga RM30 dan anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan akibat kes kecurian kabel yang didalangi sindiket itu ialah kira-kira RM910,448.
Tambah Mohd. Shuhaily, ujian air kencing yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah lampau.
“Dengan penangkapan suspek-suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel yang mana 17 kes berlaku di Pulau Pinang manakala 10 lagi di Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan daripada sindiket itu antaranya sebuah motolori; tiga buah kereta; 65 batang kabel bertulis Telekom Malaysia; pemotong paip; pemotong besi dan banyak lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Leave a Reply