‘Saya tinggalkan UMNO lama’, kata Anwar enggan ulas tiada pertandingan dua jawatan tertinggi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan masuk campur dalam polemik membabitkan UMNO yang membuat keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti tersebut.

Memetik laporan BH Online, Anwar yang dipecat daripada UMNO pada tahun 1998 menegaskan beliau tiada lagi kaitan dengan parti tersebut.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga enggan mengulas kerana tidak perlu terbabit dalam apa juga keputusan dibuat UMNO.

“Saya sudah tinggalkan UMNO lama, sudah 30 tahun, jadi tak ada kena mengena dengan UMNO lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri Perlis, hari ini.

Sabtu lalu, perwakilan UMNO meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan kepimpinan parti itu yang sepatutnya diadakan sebelum 19 Mei depan.

Keputusan itu dicapai setelah undian dibuat dengan jumlah perwakilan yang menyokong usul bangun melebihi perwakilan yang tidak menyokong usul berkenaan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berakhir pada Sabtu.

Cadangan usul tambahan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan apabila beberapa perwakilan termasuk melibatkan Badan Perhubungan UMNO Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

Polemik berhubung keputusan itu berterusan apabila UMNO Johor mengatakan kaedah usul tambahan berhubung dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan itu adalah melanggar perlembagaan UMNO.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *