Rafizi hina pengundi – Sanusi

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli seolah olah menganggap pengundi pada PRU-15 2022 tidak bijak, tidak tahu membuat penilaian, sentiasa membuat pilihan yang salah dan sangat teruja dengan wang rasuah pilihan raya.

Tidak ada sesiapa pun yang menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam PRU-15 kerana disogok wang dan diberi jamuan mewah percuma.

PAS memang ‘parti tin Milo’ – bukan seperti mereka yang ditaja oleh taukey-taukey besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter.

Calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu.

Tuduhan Rafizi itu juga seumpama menuduh pengundi Malaysia terlalu naif- secara terang dia telah MENGHINA PENGUNDI.

Raja politik wang selama ini, yang Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini dia sedang bersekedudukan dengan mereka itu. Takkan tak tahu pula selepas dapat peluang menjadi menteri?

Bagi Rafizi, dia dan Pakatan Harapan tidak pernah salah, perfect dan sentiasa benar dalam semua hal. Ironinya, kebencian para pengundi kepada ‘formula sampah yg tidak pernah berjaya’, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam ‘bahasa baku’ – telah mendorong para pengundi memberikan mereka pengajaran dalam PRU-15.

Pengundi tidak lagi mampu berpegang kepada ‘politik persepsi’ yang dibina oleh Rafizi daripada kaedah lapuk itu.

‘Tsunami hijau orang melayu’ pada PRU-15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut besar beliau.

Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan-ucapan kempen PRU-15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.

Kalau dia rasa dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh.

Sekarang ini tahun 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada ‘cakap kosong berstatistik’ dan retorik. Sekarang zaman orang menilai kerja dan prestasi. Prestasi PH sudah dilihat selama 22 bulan selepas PRU14, prestasi BN pula seluruh rakyat sudah sedia maklum.

Jika telur dan ayam pun mereka gagal uruskan, apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tapi tak turun-turun.

Rafizi akan jadi punca utama Pakatan Harapan dan BN dihukum pada PRN di enam negeri dan PRU-16 nanti. Mereka sedang ditertawakan orang tapi mereka tidak sedar.

Muhammad Sanusi Md Nor Menteri Besar Kedah


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *