UMNO sepatutnya menetapkan hala tujunya untuk lima tahun lagi selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke-15.
Ia antara perkara yang hendak disampaikan oleh Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom dan Ireland, Muhammad Iman Irfan Yahya, yang mendakwa disingkirkan daripada senarai pembahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kelmarin.
“Menyedari hakikat yang kita ni dah kalah, bukan lagi (disebabkan) persepsi, sentimen tapi bercakap soal realiti – kekalahan kita.
“Kita sepatutnya menuju kepada isu pokok, isu asal iaitu hala tuju parti kita.
“Apa hala tuju yang kita ingin bawa dalam tempoh lima tahun ini, yang perlu digariskan mengikut kehendak rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini hari ini.
Iman berkata dia dijadualkan berbahas pada 14 Jan, hari terakhir persidangan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, dua hari sebelum itu dia dimaklumkan namanya digantikan oleh individu lain kerana ciapannya di Twitter yang “menghentam Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.”
“Mereka bercakap yang saya diminta ditukarkan atas alasan tweet-tweet saya sebelum ini yang dilihat tidak selari dan tidak sebulu dengan presiden itu sendiri.
“Jadi mereka bimbang kalau saya diberi pentas, saya akan buat perkara di luar jangkaan,” katanya.
Iman turut mengetengahkan isu itu dalam siri tulisannya di Twitter, yang antaranya mendakwa PAU kali ini disusun untuk menyelamatkan presiden UMNO dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perwakilan UMNO meluluskan usul agar tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kali ini.
Sementara itu, Iman berkata dia antaranya hendak mengusulkan supaya UMNO meletakkan hala tuju yang terbuka untuk bertindak seiring dengan perubahan sentimen serta kehendak rakyat, “bukan sekadar visi peribadi dan gila kuasa”.
“Ketiga, cara pembawakan kita yang perlu ada perdamaian – perlu baik pulih macam mana kita buat program, (sebab) kalau tengok program selama ni banyak program syok sendiri sesama ahli parti.
“Sepatutnya, kita tak boleh lagi duduk dalam gelembung syok sendiri tu kerana akhirnya yang mengundi bukan ahli saja tapi rakyat,” katanya.
Selain mahu menekankan soal pemulihan imej, Iman turut menggesa ke arah peremajaan parti dengan melahirkan lebih ramai pemimpin seperti bekas ketua pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung perkara itu.
Leave a Reply