Menteri Luar Singapura bertemu Muhyiddin bertukar-tukar pandangan

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan malam ini.

Muhyiddin menerusi kenyataan memaklumkan, pada pertemuan itu, mereka makan malam sambil bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal politik semasa dan hubungan dua hala Malaysia-Singapura

“Saya telah menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan malam tadi.

“Kami makan malam sambil betukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal politik semasa dan hubungan dua hala Malaysia-Singapura,” katanya dalam kenyataan itu.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Dr Vivian berada di negara ini sempena lawatan kerja beliau selama empat hari bermula semalam.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi beliau adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi siri hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Singapura.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Dr Vivian di Istana Negara.

Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM336.73 bilion (US$76.40 bilion) tahun lalu, peningkatan sebanyak 30.8 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada 2021.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *