SEBUAH pesawat yang membawa 72 penumpang dan anak kapal terhempas berdekatan sebuah lapangan terbang di bahagian tengah Nepal, mengorbankan 68 orang.
Pesawat Yeti Airlines itu sedang dalam penerbangan dari bandar pelancongan Pokhara ke Kathmandu, dan dipercayai terhempas sewaktu hendak melakukan pendaratan.
Menurut Astro Awani yang memetik laporan Reuters, saksi kejadian memberitahu, pesawat itu terus terbakar.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, pesawat itu kelihatan terbang rendah melintasi sebuah kawasan berkepadatan penduduk tinggi sebelum membuat belokan tajam.
Dalam video itu juga, kelihatan asap hitam berkepul ke udara serta terdapat serpihan-serpihan pesawat yang masih terbakar.
Difahamkan, terdapat 68 penumpang berada dalam pesawat, termasuk sekurang-kurangnya 15 warganegara asing dan empat petugas kabin.
Seramai 200 anggota tentera Nepal digegaskan ke lokasi nahas di kawasan lembah Sungai Seti, yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lapangan terbang.
“Kami jangka akan dapat menemui lebih banyak mayat… Kapal terbang telah pecah menjadi beberapa bahagian,” kata jurucakap tentera.
Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal telah memanggil satu mesyuarat tergempar dengan anggota Kabinetnya, selain menggesa agensi-agensi berkaitan segera membantu operasi pencarian mangsa.
Dari keseluruhan penumpang, sejumlah 53 orang dilaporkan warga Nepal. Turut berada dalam pesawat itu ialah penumpang warga India sejumlah lima orang, warga Rusia (empat) dan Korea (dua), serta masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Argentina dan Perancis.
Leave a Reply