Pembunuhan karekter PN, penyucian kluster mahkamah jadi tumpuan PH-BN ketika ini

PEMBUNUHAN karakter Perikatan Nasional (PN) dan penyucian imej kluster mahkamah dilihat akan menjadi keutamaan kepada gabungan PH-BN ketika ini terutama sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, karakter PN perlu dibunuh kerana gabungan parti itu adalah pesaing terbesar PH-BN.

Jelas beliau, BN telah kalah teruk dengan PN namun PH memerlukan BN untuk menarik sokongan Melayu, justeru PH-BN akan bekerjasama untuk menghasut dan membentuk persepsi rakyat seolah-olah PN itu rosak dan korup.

“Target utama PH-BN ialah keperibadian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keperibadian pemimpin-pemimpin kanan dalam PN.

“Ini kerana populariti dan keyakinan rakyat terhadap PN dan Tan Sri Muhyiddin terus kekal tinggi hingga ke hari ini.

“Rakyat tahu bahawa jika dibandingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan orang-orangnya dengan Muhyiddin dan pemimpin di sekeliling Muhyiddin, maka perbezaannya adalah seperti langit dan bumi.

“PH-BN akan buat apa saja untuk merosakkan kredibiliti Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pembunuhan karakter itu tidak perlu hingga ranap sepenuhnya kerana jika PH-BN boleh menghasut rakyat mengatakan Muhyiddin dan pemimpin PN sama sahaja dengan pemimpin mereka, akan anggap sudah berjaya.

“Mereka sudah berjaya jika rakyat mempersoalkan PN,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, penyucian imej kluster mahkamah pula akan dilakukan segera oleh PH-BN kerana mahu mempengaruhi persepsi rakyat dalam menghadapi PRN di enam negeri.

Ujarnya, matlamat PH-BN sudah pasti untuk membersihkan seorang demi seorang kluster mahkamah terutamanya Ahmad Zahid dan membebaskan mereka dari imej tersebut.

“Saya bimbang apabila membaca pendedahan Ketua Hakim Negara mengenai cubaan menakut-nakutkan atau memberi tekanan terhadap hakim pada tahun lepas.

“Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Negara bahawa percubaan yang mereka buat pada tahun lepas itu adalah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

“Kita mesti pertahankan integriti institusi perundangan dari salahlaku serangan seperti yang berlaku tahun lepas,” katanya.

Ujarnya, rakyat perlu ingat sama ada Anwar ataau Ahmad Zahid, kedua-duanya mempunyai rekod penyalahgunaan kuasa.

Katanya, ramai yang terlupa Anwar telah dipenjara kerana bersalah memaksa agensi penguatkuasaan undang-undang bertindak untuk kepentingan dia sendiri dan telah menjalani hukuman penjara atas kesalahan itu.

“Sekarang Anwar-Ahmad Zahid bergabung memegang dua jawatan tertinggi negara.

“Adakah kita boleh percaya mereka tidak akan mempergunakan agensi penguat kuasa untuk menyiasat dan menekan, dengan tujuan membunuh karakter Muhyiddin dan pemimpin PN, serta untuk membersihkan imej kluster mahkamah?

“Kita tahu agensi-agensi perundangan kita bekerja dengan ikhlas dan mereka mahu bebas bekerja. Tetapi gabungan Anwar-Ahmad Zahid memang ada rekod yang jelas mempergunakan segala-galanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *