LIMA rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar akan didakwa di Mahkamah Thailand kerana memasuki negara terbabit tanpa kebenaran.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang yang membantu menyelamatkan kesemua mangsa terbabit.
Katanya, kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 33 tahun itu kini berada di Bangkok, Thailand di mana Chon Siang akan bertolak ke sana pada Isnin untuk membawa mereka pulang.
“Mereka akan dibawa pulang selepas selesai proses dokumentasi dan saya akan membawa mereka pulang ke tanah air pada Selasa.
“Selepas selesai proses pendakwaan di mahkamah Thailand, kita akan menguruskan pasport sementara untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada program edaran lokam sempena sambutan tahun baharu cina di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom, dekat Penor, di Kuantan, hari ini
Chon Siang memberitahu, berdasarkan aduan yang diterima, lebih 40 individu warga Malaysia yang menjadi mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Myawaddy, Myanmar.
“Dalam tempoh hampir dua minggu tahun ini , saya menerima 40 aduan daripada mangsa meminta kesemua mereka diselamatkan daripada terus menjadi mangsa sindiket.
“Jadi, kita akan berusaha mendapat maklumat lanjut sebelum usaha menghubungi waris dilakukan bagi membolehkan laporan polis dibuat terhadap kehilangan anak mereka,” ujarnya lapor SatuBerita.
Leave a Reply