Usul dua jawatan tertinggi UMNO tak dipertandingkan dipertikai

USUL tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) semalam, didakwa tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan hari ini.

Tegas Perwakilan UMNO Johor Datuk Pandak Ahmad, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri berkata, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.

“Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.

“Merujuk Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU kali ini.

“Ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk sendiri,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden, hari ini.

Semalam, cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, namun mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

Cadangan dikemukakan dalam perbahasan secara tertutup itu membuatkan Dewan Merdeka di WTC Kuala Lumpur kecoh seketika, dengan ribuan perwakilan UMNO menyambutnya dengan reaksi bercampur-campur.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

Pandak pada masa sama mempersoalkan berapa lama lagi ahli UMNO mahu menunggang isu perpaduan dan kestabilan parti semata-mata mahu menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

Beliau mempersoalkan mengapa hanya dua jawatan itu mahu dihalang daripada dipertandingkan, jika benar kumpulan yang menyokong cadangan berkenaan benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan parti.

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga,” katanya sinis.

Pada masa sama, beliau mendakwa, cadangan menghalang dua jawatan itu daripada dipertandingkan dilihat canggung kerana bertentangan dengan semangat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia mempertahankan jawatan disandangnya.

“Seingat saya, presiden telah berjabat tangan, menyebut ‘ready to fight’ (sedia bertempur) kepada Khairy Jamaluddin. Seingat saya, presiden pun berjiwa besar. Seingat saya, presiden tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan. Begitu juga timbalan presiden.

“Tapi semalam kita pula membahaskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *