Pekembar UMNO 1946 gabungan Amanah Kelantan

‘Top 2’ tak dipertanding, UMNO kembali ikut cara lama, kata Ku Li

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan menjadikan parti itu kembali mengikut cara lama, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, demokrasi dalam UMNO tidak mati, sebaliknya beliau percaya parti itu sedang dikawal.

“Mereka bimbang Umno berpecah dan sebab itu tak mahu perlawanan… tetapi parti kita adakan atas prinsip demokrasi.

“Kalau nak orang baru mesti ada pertandingan supaya wujudkan pelapis,” katanya yang lebih dikenali Ku Li ketika ditemui pada PAU di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

PAU meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan hari ini.

Ini bermakna jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan, pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.

Pemilihan presiden dan timbalan presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Ku Li yang juga ketua UMNO Gua Musang berkata perkembangan itu juga mungkin menakutkan orang muda menyertai Umno kerana merasakan banyak sekatan menyebabkannya beralih ke parti lain.

“Ini menakutkan orang muda. Kita nak remajakan UMNO kena bawa orang muda masuk… orang muda mesti bawa seberapa ramai masuk ikut dia.

“Tetapi ini hanya berlaku jika ada pertandingan. Kalau sekat sana, sini, (di luar) ada parti lain lagi,” katanya lapor Free Malaysia Today.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *