SEBAGAI persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) di peringkat negeri dan bahagian diarah mengadakan pelbagai program bersama masyarakat dalam usaha mendekati pengundi.
Menurut Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu akan mengambil kesempatan kehadiran pelbagai perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Poongal, Thaipusam, selain kedatangan Ramadan dan Aidilfitri untuk mengadakan program sedemikian.
“Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN pagi tadi. Semua Ketua Bahagian akan diarahkan mengadakan program di kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRN.
“Mereka juga diingatkan bahawa GERAKAN bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN), oleh itu jalinan bersama semua komponen parti adalah sangat penting.
“Justeru, kita akan mengadakan program bersama untuk mendekati pengundi dan rakyat untuk mendapatkan sokongan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong dan Naib Presiden GERAKAN, Datuk G Parameswaran.
Mesyuarat sama juga memutuskan pemimpin GERAKAN akan mengadakan lawatan hormat ke atas semua pemimpin PN, Pengerusi Negeri, Perhubungan Negeri di enam negeri terbabit dalam masa terdekat.
“Ini bertujuan mengadakan rundingan mengenai kerusi atau kawasan yang kita ingin bertanding, kita sudah berikan senarai kawasan itu kepada semua pemimpin Pengerusi Perhubungan PN melalui Pengerusi Perhubungan Negeri GERAKAN.
“Seterusnya menerusi rundingan berkenaan, kita berharap segala keputusan (kawasan) dapat dibuat dengan lebih awal supaya dapat membuat persiapan menghadapi PRN,” katanya.
Berkenaan calon untuk PRN, beliau menjelaskan pihaknya ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat hari ini terutamanya kriteria yang diperlukan sebagai calon
“Kali ini memang kita hendak letakkan calon yang memenuhi kriteria utama ditetapkan iaitu siapa yang boleh memberi kemenangan untuk PN. Ini yang paling penting, buat apa kita letak calon yang tidak boleh menang.
“Bukan sahaja ‘winnable candidate’ (calon yang boleh menang), kita juga mengadakan satu kajian calon kita di kawasan yang dia ingin bertanding.
“Ia bagi mengetahui kebolehterimaan rakyat atau pengundi di kawasan itu, sama ada mereka boleh menerima calon yang kita letakkan atau sebaliknya.
“Oleh itu itu, adalah amat penting untuk kita membuat persediaan awal kerana masa yang ada memang singkat,” katanya.
Dominic berkata, walaupun senarai calon untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)sudah diputuskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun ia akan diteliti semula.
“Pada masa itu, kita tidak tahu bahawa enam negeri terbabit tidak membubarkan DUN masing-masing dan senarai calon serta parti komponen mana yang akan mewakili PN memang sudah ada.
“Tetapi untuk kali ini (PRN), kita akan buat lebih teliti, untuk meletakkan calon yang lebih sesuai sama ada calon Melayu atau Cina atau India dan rundingan akan diadakan merujuk keputusan PRU15, maka penting untuk kita buat keputusan yang betul kerana kita mahu calon kita menang.
“Jumlah calon GERAKAN, PAS dan BERSATU yang akan bertanding itu tidak penting berbanding calon manakah yang boleh menang kerusi dipertandingkan,” katanya, lapor Berita Harian.
Selain itu, pihaknya menjangka DUN di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan dibubarkan pada April atau Mei nanti dan hari mengundi kemungkinan jatuh pada Mei.
Leave a Reply