DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Lembaga Disiplin UMNO akan berbincang mengenai tindakan terhadap Khairy Jamaluddin yang mendakwa terdapat cubaan membawa masuk “perwakilan import” pada sesi pengundian usul petang tadi.
Presiden UMNO itu berkata, ia kemudian akan diserahkan kepada jawatankuasa pengurusan peringkat bahagian.
Khairy adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan adalah ketua bahagiannya.
“Ia akan dibincangkan oleh pegawai disiplin dan akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan yang diuruskan ketua bahagiannya,” kata Zahid pada sidang media selepas sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Media sebelum itu melaporkan Khairy mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.
Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Sementara itu, Zahid turut menafikan dakwaan Khairy.
“Mana boleh masuk kalau tiada kad ini,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Sebelum itu, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menyangkal dakwaan Khairy bahawa “perwakilan import” akan dibawa masuk bagi menyokong usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Perhimpunan Agung UMNO meluluskan usul untuk menghalang dua jawatan tertinggi itu melalui undi suara.
Usul itu bagi memastikan Zahid and Mohamad Hasan tidak dicabar dalam pemilihan parti yang mesti diadakan sebelum 19 Mei ini
Leave a Reply