Oleh RIZQI ZABIDI
AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempersoalkan mengapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Hospital Pendang oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kelmarin.
Menurutnya, beliau dimaklumkan tiada jemputan diterima Menteri Besar dan exco berkenaan sekali gus menampakkan betapa mereka yang terlibat, tidak peka dengan keadaan.
“Apakah alasannya? Adakah hanya kerana politik yang tidak seiring dengan kerajaan pusat?
“Ini jelas menunjukkan betapa tidak pekanya seorang menteri yang seakan-akan memberi gambaran tauladan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali mengadakan lawatan mengejut tanpa melibatkan pentadbiran negeri.
“Mungkin suka agaknya tetapi keadaan ini sangat menjelikkan,” katanya menerusi satu status di Facebook yang dimuat naik semalam.
Dalam majlis yang berlangsung kelmarin, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin turut menyaksikan majlis penyerahan tersebut daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr. Zaliha.
Hospital Pendang yang secara rasmi akan mula beroperasi pada 15 Februari ini dikategorikan sebagai hospital pakar minor setelah dilengkapi 126 katil pesakit dan empat dewah bedah.
Mengulas lanjut Awang berkata, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan beradab.
Katanya, tidak ada salahnya untuk pemimpin daripada parti pembangkang dijemput ke majlis tersebut ketika pemimpin parti sehaluan dengan kerajaan turut dipelawa ke majlis berkenaan walaupun tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Dalam hal membawa kebaikan kepada rakyat, kementerian sepatutnya lebih bersifat terbuka dengan melibatkan semua pihak tanpa mengira ideologi politik. Semua itu sepatutnya dilakukan demi rakyat.
“Sudah-sudahlah bermain dengan politik murahan ‘scrap off’ dan ‘discredit’ yang akan memberi gambaran lebih buruk kepada kerajaan hari ini,” katanya.
Tambahnya, waktu berpolitik sudah pun tamat dan kini masanya untuk menabur bakti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Berilah khidmat bakti dengan lebih ikhlas agar lebih banyak kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.
Leave a Reply